Skip to main content

Iftar@KL 2018

Berbuka puasa sambil menikmati keindahan kota Kuala Lumpur dalam remang senja telah menarik kehadiran pengujung tempatan dan antarabangsa sejak ia dilaksanakan enam (6) tahun yang lepas. Iftar (Berbuka Puasa)@Kuala Lumpur pada mulanya dilaksanakan sejak 2012 – 2014 pada ketika itu dikenali sebagai Festival Ramadan dan dijenamakan semula menjadi Iftar@KL pada 2015.


Seramai 17,250,600 orang khalayak merangkumi khalayak di lokasi, khalayak media, paparan blog dan media sosial oleh para blogger yang menulis tentang Iftar@KL 2016. Manakala kehadiran pelancong tempatan berjumlah 66,080 orang manakala seramai 16,520 orang kehadiran pelancong luar negara yang terdiri dari pelancong timur tengah, negara Asean, Korea Selatan, China, Jepun, Sepanyol, Itali, Jerman, Belanda, Amerika Syarikat serta Perancis.

Manakala Iftar@KL 2017 pula menyaksikan peningkatan jumlah pengunjung sepanjang enam (6) kali dilaksanakan setiap hujung minggu sepanjang bulan Ramadan ialah seramai 93,588 orang pengunjung termasuk pengunjung luar negara seperti Brunei, Thailand, Singapura, Indonesia, Kazakhstan, Korea Selatan, UAE, dan Kanada. 


Bagi tahun ke-7 ini, Iftar@Kuala Lumpur 2018 yang dijadualkan berlangsung sepanjang bulan Ramadan 1439H sebanyak enam (6) kali Setiap Sabtu dan Ahad pada tarikh 26&27 Mei, 2&3, 9 Jun (Malam 7 Likur diacarakan oleh DBKL) & 10 Jun 2018 di Jalan Raja, Kuala Lumpur (berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad).

Iftar@KL 2018 bertujuan untuk menjadikan bulan Ramadan sebagai satu bulan di mana kegiatan kerohanian dan kesenian Islam dapat disemarakkan kepada masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda serta memupuk nilai-nilai murni melalui penganjuran aktiviti. Urus setia berusaha membawa Iftar@KL 2018 sebagai satu program keperluan pelancongan secara islamik dan platform menjadikan Kuala Lumpur sebagai Pusat Seni dan Budaya di peringkat Antarabangsa.

Selain itu, ia bertujuan untuk mengimarahkan dan memakmurkan bulan Ramadan sebagai  bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan melalui amalan-amalan kebajikan di samping mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat pelbagai kaum. Melalui program seumpama ini, umat Islam digalakkan untuk mengejar ganjaran dan kenikmatan bulan yang penuh berkat.

Urus setia telah berusaha melakukan pelbagai penambahbaikan penganjuran yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk kebaikan semua pengunjung dan rakyat jelata yang hadir. Kelainan pengisian IFTAR@Kuala Lumpur 2018 pada kali ini ialah dengan penyediaan Surau Kontena Bergerak yang disediakan oleh JAKIM serta Penagjuran Malan 7 Likur oleh DBKL yang akan menyediakan Pelita Gergasi bagi menerangi Dataran Merdeka nanti.

Selain itu juga sebanyak lima belas (15) komponen pengisian aktiviti berbanding empat belas (14) aktiviti pada tahun 2016 & 2017 yang dilaksanakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bersama Rakan Pengajuran Bersama iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pelbagai agensi iaitu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Tourism Malaysia, Islamic Tourism Centre, Jabatan Warisan Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Masjid Jamek Kampong Bharu, Alam Flora, F&N, Julies, Yakult dan Food Truck Entrepreneurs manakala bagi khidmat sukarela diketuai Sukarelawan Budaya JKKN serta Voluntourism di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Antara Pengisian Program pada kali ini ialah Penyediaan dan Pengagihan Bubur Lambuk, Pameran Bubur Lambuk, Produk Pakej Umrah, Tadarus Al-quran, Sukarelawan, Klinik Tahsin Al-Quran, Jualan Food Truck, Kaunter Zakat, Kaunter Perkhidmatan Rakyat, Kaunter Sumbangan, Majlis Berbuka Puasa (Iftar), Solat Berjemaah (Maghrib, Isyak dan Terawih), Bicara Ramadan (Ramadan Talk), Konsert Ramadan dan Moreh.

Melalui program ini juga, pengunjung akan dihiburkan oleh Kumpulan Nasyid terkenal Tanah air iaitu Sharifah Khasif Fadzillah Badiuzzaman, Kumpulan Hijjaz, UNIC, Raihan dan artis-artis nasyid yang lain manakala penceramah terkenal akan dijemput untuk memeriahkan program sepanjang iftar@Kuala Lumpur 2018 berlangsung iaitu Sahibul Samahah  Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, YBhg. Dato’ Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, YBhg. Datuk Ustaz Kazim Elias, YBhg. Dato’ Ustaz Badlishah Bin Alauddin, YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzillah Kamsah dan PU Azman.

JKKN ialah sebuah agensi di bawah Kementerian pelancongan dan Kebudayaan yang bukan sahaja menjalankan aktiviti kebudayaan dan kesenian di Malaysia malah menyemarakkan nilai-nilai murni, semangat perpaduan, penyelidikan, kerohanian, dan mengetengahkan majlis-majlis Ilmu yang berlandaskan kecintaan kepada Negara.

Melalui Iftar@Kuala Lumpur 2018, bulan Ramadan dijadikan sebagai satu bulan di mana kegiatan kerohanian dan kesenian islam dapat disemarakkan kepada masyarakat khususnya generasi muda dalam memupuk nilai-nilai murni terutama masyarakat kota.

Comments